Friday, July 11, 2008

UMNO-PAS: KERJA SAMA MACAM MANA

Sebelum PRU 12, PAS hanya ajak Umno bermuzakarah atau berdebat sahaja dimana-mana. Tiada istilah berjumpa untuk berunding hal ehwal ummah. Pada tahun 1986, allahyarham Ustaz Yusof Rawa dan Ustaz Fadhli Noor berjumpa Tun Mahathir di Sri Perdana. Suasana dalam politik Pas gempar seketika kerana ahli Pas marah tidak bersetuju perjumpaan secara sembunyi itu. Tetapi dengan kepetahan Ustaz Fadhil Nor didalam muktamar, keresahan ahli Pas berjaya diredakan, tetapi pimpinan Pas tahu mood ahlinya; jangan sesekali berunding Umno. Watak Umno tidak boleh dipercayai. Bukankah itu yang selalu diperkatakan oleh pimpinan Pas di setiap ceramahnya.

Selepas PRU 1999, bila Umno ajak Pas bermuzakarah, Pas letakkan syarat sebelum berjumpa. Antaranya pulangkan wang royalti Terengganu. Perjumpaan langsung tak jadi. Kali ini, tiada pula syarat diberikan. Apakah kali ini tanpa syarat, walaupun Kelantan masih dikenakan pelbagai dikriminasi oleh kerajaan pusat. Royalti sahajakah yang Pas nampak.

Sebelum keputusan PRU 12, Pas tidak nampak keperluan berjumpa dan berunding dengan Umno. Oleh kerana kedudukan politik Pas tidak sekuat hari ini, maka Pas rasakan ia tidak mampu mendesak Umno. Kini, dengan kedudukan yang agak kuat, Pas boleh tawar menawar, kumpulan mana mahu disertai untuk membentuk kerajaan, PR atau BN. Kalau Pas tinggalkan PR untuk sertai BN, Pas tidak akan dipercayai dalam pakatan politik alternatif di negara ini sampai 50 tahun akan datang.

Bagi ahii Pas bawahan, perjumpaan merupakan langkah pertama kepada rundingan. Rundingan kena tolak ansur dan kerja sama. Kerjasama berkesan ialah bermuafakat dalam satu wadah politik. Mungkin namanya BN atau apa sahaja. Ahli Pas dah serik dengan BN. Rakyat dah tolak BN, mengapa kita hendak bersama BN kata Mahfuz Omar. Tetapi seriuskah kenyataan itu?

Pas hendaklah terus menyatakan prinsip dan matlamat politiknya dalam PR. Itu hak Pas sebagai parti berdaftar yang punya sokongan rakyat yang tidak kurang banyaknya. . Pas hendaklah menegur mana yang tidak betul dalam dalam kerajaan negeri PR. Pas hendaklah komited menjalankan pentadbiran yang selari dengan Islam dalam negeri yang ia berkuasa. Jangan sampai ahli dan rakyat tolak Pas kerana Pas tidak laksana Islam sepertimana yang tercatat dalam perlembagaannya.

Pas boleh buat tuntutan bertulis kepada kerajaan. Ianya lebih telus lagi. Jumpa di pejabat Perdana Menteri, bukannnya jumpa di tempat gelap. Kawan dan lawan pun tahu. Rakyat pun tahu apa hajat Pas sebenarnya dalam politik. Permintaan politik bukan satu konspirasi yang perlu disorokkan.

Memanglah menjadi aspirasi rakyat, supaya Pas menjadi penegur kepada kerajaan. Jika rakyat sudah yakin bahawa Umno memang TIDAK MAHU ATAU TIDAK MAMPU melaksanakan aspirasi Islam, maka mereka akan memilih Pas dan meninggalkan Umno. Riak-riaknya sudah ada.

Kita tidak tahu apa niat sebenar di hati pimpinan Pas. Ahli Pas sentiasa bersangka baik. Sejarah mencatat, tiba-tiba Datuk Asri ajak Pas masuk BN pada 1970. Apakah sejarah akan berulang di era Hj Hadi lagi. Tokoh veteran Pas, Mustafa Ali semasa Pas bersama BN masih ada lagi bersama Pas sehingga kini. Apakah beliau berpengaruh dalam membuat perancangan ini.

No comments: