Thursday, January 8, 2009

POLITIK NON PARTISAN

Seingat saya manusia yang memperkenalkan dan mempopularkan istilah "non partisan" ialah Anwar Ibrahim ketika beliau menjadi Presiden Abim pada awal 70an dahulu. Pada ketika itu konsep non partisan Abim tidak menghalang pimpinan Abim untuk mengkritik kerajaan dengan lantang dan tidak menghalang anggota Abim berkempen menyokong Pas dalam pilihan raya. Hanya pimpinan Abim yang hendak menjadi calun mana-mana parti politik, kenalah berhenti dari memegang jawatan dalam Abim. Hanya Abim yang yang buat dasar macam tu. Itulah yang dilakukan oleh Allahyarham Ustaz Fadhil Noor dan Anwar Ibrahim apabila menyertai Pas dan Umno.

Tetapi pertubuhan atau NGO lain tak kesah pun, fasal kebanyakan NGO dalam negara ini memang menyokong kerajaan. Sanusi Junid, Ali Rustam, Syed Hamid, Tajol Rosli dan ramai lagi yang memegang jawatan dalam NGO sekaligus dalam Umno juga. Siapa pun tak kesah. Tetapi jika NGO yang tak pro kerajaan, jangan buat macam tu, kena belasahlah nampaknya.

Saya kira istilah non partisan suka digunakan oleh induvidu yang menyertai NGO tetapi mengkritik kerajaan supaya mereka tidak mahu dianggap sebagai pro pembangkang. Takut sangat jika dikaitkan dengan pembangkang. Buruk sangat jika idea penentangan sama dengan parti pembangkang walaupun isu itu adalah benar. Jika NGO ini mengkritik kerajaan, seboleh mungkin jangan melibatkan mana-mana parti pembangkang. Itulah senario sebelum 1999 secara amnya.

NGO pro kerajaan tak perlu istilah non partisan ini kerana mereka dialu-alukan menyokong kerajaan. Mereka menyokong kerajaan kerana mengharapkan geran dan bantuan kerajaan bagi menjalankan aktiviti mereka. Semua tahu hal ini.

NGO pro kerajaan perkara biasa. Tetapi jika ada NGO asyik mengkritik pembangkang itu luar biasa. Buat apa mengkritik kepada orang yang tak berkuasa. Bukan anak jantan namanya. Yang lebih utama kritiklah orang yang berkuasa.