Thursday, October 21, 2010

BAJET 2011: NAJIBNOMICSM


Pendahuluan

Apa yang unik (bukan UNIK) sangat dengan Belanjawan 2011?  Kita tak perlukan kaca mata 3-D, kaca mata 2-D sudah memadai untuk mengupas kulit Belanjawan sehinggalah saraf-sarafnya - sebelah kiri warna Mahathirisme, sebelah kanan warna Najibnomics.  Legasi Mahathirisme tergolong kepada yang positif dan yang negatif.  Tetapi yang diwarisi Najibnomics setakat ini hanyalah legasi negatif malahan dibesar-besarkan skalanya sehingga menjangkaui pencapaian legasi negatif Mahathirisme.
Meskipun begitu, pemimpin Kerajaan BESAR NAFSU masih tersenyum dengan pencapaian sebegitu negatif sedemikian besar dan penuh dengan khayalan sehingga hendaklah dibina Warisan Merdeka yang berangan-angan hendak menyentuh bulan yang membawa kegelapan.
Dasar Mahathirisme masih bersarang kuat dalam kotak pemikiran Najib Razak.  Segala-galanya besar; perbelanjaan besar, Jabatan Perdana Menteri (JPM) yang terlalu berkuasa dan pelancaran projek-projek mewahnya jelas berniat untuk menanamkan legasi pemerintahannya seperti Mahathir.  Berbilion-bilion ringgit wang rakyat dipergunakan sewenang-wenangnya demi memuaskan nafsu tamak, haloba, serta cita-cita peribadinya.
Sebilangan kecil elit dalam rangkaian politik perniagaan disandarkan harapan untuk memacu pertumbuhan ekonomi yang terbukti telah merosakkan struktur ekonomi sejak era pemerintahan Mahathir.  Hasrat Najib dalam mentransformasikan ekonomi politik negara sehingga digelar sekumpulan pengkaji Universiti Harvard sebagai Najibnomics<1> rupa-rupanya lanjutan kepada episod besarnya Mahathirisme.

Belanja Besar itu sifat Najibnomics

Belanjawan 2011 bukan sahaja memberi keutamaan kepada projek mega, malahan pemimpin Kerajaan BESAR NAFSU mempunyai kecenderungan untuk mengagumi projek pembinaan infrastruktur besar-besaran sebagai warisan kepimpinannya.  Menara Berkembar Petronas umpamanya disifatkan sebagai simbol kemegahan negara dan monumen kepada semangat Malaysia Boleh.  Tidak sampai dua tahun berkuasa, Warisan Merdeka yang bernilai RM5 bilion diperkenalkan oleh Najib kepada rakyat jelata sebagai satu lagi kononnya mercu kebanggaan negara dan mendatangkan kesan limpahan ekonomi yang besar.

Daripada Mahathirisme kepada Najibnomics, saiz menjadi ukiran pencapaian agenda transformasi ekonomi negara.  Alasan Najib untuk mempertahankan pembinaan Warisan Merdeka juga tiada bezanya dengan alasan penyokong Mahathirisme iaitu semakin besar sesuatu projek tersebut, semakin besarlah keuntungan yang diperolehi.  Realitinya, semakin besar sesuatu projek tersebut, semakin besarlah tanggungan kerugian yang bakal dipikul oleh kerajaan.  Apa yang dikesali, Najib didapati obses kepada teori ekonomi firaun Mahathir.

Era JPM BESAR Bermula 

Ungkapan era kerajaan mengetahui segalanya sudahpun berakhir menimbulkan tanda tanya dalam benak fikiran rakyat.  Sekiranya benar dakwaan Najib bahawa era kerajaan mengetahui segalanya sudahpun berakhir, nampaknya era JPM BESAR dan tahu segalanya sedang bermula dengan hebatnya!

Mengapakah dikatakan demikian?  Hal ini kerana apabila perbelanjaan Kerajaan Persekutuan berkembang sebanyak 33% sejak tahun 2007, perbelanjaan JPM melonjak sebanyak 130% dalam tempoh yang sama.  Akibat pemusatan kuasa JPM, sekarang lebih 50 buah agensi terletak di bawah kendaliannya dan masih ditokok tambah tanpa segan dan sekatan.  UNIK bukanlah agensi terakhir.  UNIK bukanlah sesuatu yang unik.

Agensi-agensi penting yang sewajarnya bertanggungjawab kepada Parlimen seperti Petronas dianaktirikan kepada JPM atau lebih tepat Perdana Menteri.  Lebih menghairankan, apakah rasionalnya meletakkan Biro Tatanegara (BTN) dan Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) di bawah JPM?  Malahan, Perdana Menteri sendiri turut menyelia 1MDB dan Ekuinas seolah-olah beliau sahajalah yang mengetahui segala-galanya.

Langkah tersebut mirip penekanan seorang filasuf Perancis, Alexis de Tocqueville yang pernah menulis "A central power, however enlightened and wise imagines it to be, can never be alone foresee all the details of the life of a great nation. Such a task exceeds human strength"<2>

Kroni Besar Acuan Najibnomics

Amalan kronisme dengan kroni-kroni besar memang jelas dalam kedua-dua pentadbiran baik Mahathir ataupun Najib.  Sistem ekonomi yang dikawal secara langsung dengan tahap penglibatan kerajaan yang keterlaluan merupakan faktor mengapa kronisme dan rasuah berleluasa di Malaysia.  Rakyat telah menyaksikan bagaimana banyak syarikat besar negara telah diselamatkan oleh kerajaan atas alasan menyelamatkan pekerjaan.  Atas mitos JPM BESAR dan tahu segalanya, keuntungan diswastakan manakala kerugian dinasionalisasikan.
Contohnya, kajian yang dilakukan oleh Simon Johnson dan Todd Minton menyimpulkan bahawa kronisme meningkat selaras dengan kawalan modal dan membuktikan bahawa hanya firma atau syarikat yang berkaitan dengan Mahathir mengalami kenaikan harga saham sejurus krisis Kewangan Asia pada tahun 1997.

Jika diimbas kembali era Mahathirisme berpandukan buku Barry Wain (gambar kiri), senarai yang disyaki mengandungi elemen skandal atau elemen kontroversi lain cukup besar saiznya secara total dan secara anggaran.  Contohnya, Mahathir pernah menyelamatkan syarikat Perwaja Steel daripada kerugian RM10 bilion.  Masih ingat isu penyelamatan UEM?  Masih ingat isu penyelamatan Renong menggunakan dana EPF?
Sementara Kerajaan BESAR NAFSU berhujah kuat mengenai pendapatan tinggi, amalan kroni besar membawa implikasi sebaliknya di mana yang berusaha dan bekerja dengan gigih terhukum kerana tidak mempunyai pertalian politik kepada kerajaan dan parti politik.  Justeru, yang kaya bertambah kaya, yang miskin papa kedana.  Sistem kapitalis dipersalahkan manakala demokrasi terpimpin ala Mahathir disanjung tinggi oleh Najib berikutan penjelmaan legasi negatif Mahathirisme dalam acuan terkini yang bernama Najibnomics.

Dimensi Politik Najibnomics
Jika diteliti belanjawan 2011, keunikan Najibnomics menonjol sekali dengan belanja besar, projek besar dan peruntukan besar JPM.  Sesungguhnya, dimensi politik ala Mahathir juga mencorakkan pemerintahan Najib.  Najibnomics terserlah dengan legasi politik Mahathirisme yang negatif.
Politik populis yang mendominasi pembentangan Belanjawan 2011 tidak lain tidak bukan tujuannya untuk meraih sokongan jutaan pengundi tanpa rasa bersalah terhadap kerosakan sistem ekonomi kemudiannya.  Defisit yang terpaksa ditanggung hampir satu setengah dekad terus membengkak akibat projek mega yang tidak strategik mengikut keperluan politik Kerajaan BESAR NAFSU.  Seterusnya, rakyat yang terus terpinggir dari arus dasar pembangunan mempunyai daya kebergantungan yang tinggi terhadap Kerajaan BESAR NAFSU.

Institusi kerajaan yang terlibat dalam gejala kronisme yang berasaskan politik naungan (patronage politics) dan budaya rent-seeking di Malaysia berlaku sejak era pemerintahan Mahathir lagi.  Rosaknya sistem kehakiman, perundangan dan eksekutif akibat daripada perlanggaran hukum pengasingan kuasa ternyata membawa padah politik dan ekonomi negara.  Rakyat pula terus dicengkam dengan pelbagai tekanan dan intimidasi daripada kerajaan.  Keseluruhan jentera; polis, Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) dan sebagainya digunakan sepenuhnya untuk mencapai penguasaan secara total ke atas kehidupan rakyat jelata.
Daripada era Mahathirisme kepada Najibnomics, percubaan penguasaan hegemoni secara total dilakukan secara berterusan.  Jika hari ini disuapkan dengan janji manis pendapatan tinggi dan gaji minimum, keesokan hari disuapkan pula dengan penekanan kebebasan media.  Jika hari ini disuapkan dengan projek mega yang berangan-angan hendak menyentuh bulan yang membawa kegelapan, keesokan hari disuapkan pula dengan berita Wartawan Malaysiakini dihalau keluar dari Persidangan UMNO.

Tatkala rakyat dibuai dengan kehidupan negara berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020, kebebasan ala Mahathir dijadikan rujukan utama Najib untuk menekan pembangkang, media alternatif serta gerakan massa!  Najib secara terang-terangan menawarkan sejumlah wang kepada rakyat Sibu sewaktu pilihan raya kecil Sibu pada bulan Mei lalu.  Kartunis Zunar menjadi mangsa ketidakadilan gara-gara menulis kisah satira politik Najib dan isteri.
Sejauh manakah kebebasan yang dikatakan oleh Mahathir dan Najib menjadi praktis di Malaysia?  Bukankah Perlembagaan Persekutuan dan kehakiman sepatutnya menentukan semak dan imbang (check and balance) kuasa eksekutif daripada melanggar prinsip negara hukum?  Bagi Mahathir dan Najib, isu keadilan sosial dan demokrasi bukanlah keutamaan pemerintahannya.  Malahan, tiada pun "NKRA" untuk keadilan sosial dan tiada pun usaha untuk mengembalikan integriti sistem kehakiman negara.

Dalam kenyataan<4> yang lepas, KPRU pernah mencadangkan lima Bidang Politik Utama Negara (NKPA) sebagai langkah perintis mengangkat kembali keyakinan rakyat terhadap sistem pemerintahan negara.  Apakah tuntutan pembaharuan dimensi politik dipandang berat oleh Kerajaan BESAR NAFSU bertunjangkan Najibnomics?  Apakah pembaharuan dimensi ekonomi ala Najib dapat dilakukan tanpa pembaharuan dimensi politik?

Perubahan (KPRU) merupakan sebuah pusat kajian yang bebas dan kritikal. KPRU ditubuhkan pada era pasca 8 Mac dengan tujuan membawa idea perubahan kepada warga Malaysia melalui kajian dan sesi dialog.
KPRU memberikan fokus kepada kajian terhadap bidang ekonomi politik dan sektor strategik yang dapat membawa impak jangka masa panjang kepada masyarakat. Dengan penerapan idea baru dan interaksi dengan pelbagai pihak berkepentingan, kajian KPRU diyakini akan membawa pemikiran dan wacana segar untuk menghadapi cabaran negara dalam dekad yang akan datang. 


No comments: