Wednesday, September 25, 2013

Mat Sabu tidak gentar kerusinya jadi rebutan

 Sumber: MI

Mohamad Sabu tidak peduli dengan apa yang dirancangkan pihak lain yang mahu merampas kerusinya sebagai Timbalan Presiden PAS dan hanya akan menumpukan kepada apa yang beliau mahu buat jika terpilih semula dan ini termasuk menguatkan lagi Pakatan Rakyat (PR).

"Masing-masing ada rancang strategi, saya serah kepada ahli muktamar untuk tentukan. Saya akan teruskan dengan idea saya untuk parti iaitu fokus kepada etika dan integriti," kata Mohamad dalam satu wawancara eksklusif bersama The Malaysian Insider.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai laporan ulama dalam parti Islam itu yang mahu menaikkan "orang mereka" sebagai timbalan presiden dalam Muktamar PAS ke-59, November ini.
Ia tertera dalam resolusi Multaqa Ulama Se-Malaysia yang dianjurkan Dewan Ulama PAS di Alor Setar baru-baru ini. 

Antara strategi ulama ialah memastikan hanya seorang sahaja calon mereka bertanding untuk jawatan timbalan presiden kali ini bagi mengelak berulangnya kekalahan pada muktamar ke-57 yang lalu.
Pada muktamar 2011, dua calon ulama iaitu Nasharudin Mat Isa dan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man tewas di tangan Mohamad bagi kerusi timbalan presiden.

"Saya akan terus dengan idea saya untuk berjuang  atas dasar demokrasi termasuk memobilisasikan rakyat," katanya yang dikenali dengan panggilan Mat Sabu.

Meluahkan pendapat, beliau berkata, sistem pilihan raya di negara ini belum berjalan dengan sempurna dan masih memerlukan penambahbaikan.

"Jika diberikan mandat lagi, saya akan fokus kepada isu integriti dan etika. Ini kerana saya lihat etika kita di kalangan orang Asia ini rendah khasnya dalam menentang rasuah dan salah guna kuasa," katanya.

Katanya, beliau akan terus membantu presiden PAS dalam memperkuatkan konsep demokrasi dan "perjuangan dengan tangan kosong tanpa senjata."

Malah, beliau menolak sama sekali perjuangan dengan senjata kerana ia terbukti gagal sebagaimana berlaku di negara timur tengah."Saya berkeyakinan, perjuangan bersenjata hanya untuk melawan musuh dari negara luar sahaja bukan untuk menukar kerajaan," katanya. 

Beliau berkata, hasil kerja PAS dan rakan-rakan NGO selama ini berjaya mencapai beberapa perkara penting dalam negara ini."Kita dapat Akta Perhimpunan Aman dan kita juga dapat ubah sedikit Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA)," katanya. 

Mohamad berkata, beliau berbangga dengan kehadiran Majlis Syura Ulama sebagai badan tertinggi dalam PAS. "Mereka akan memastikan apa yang kita buat sentiasa berada di jalan yang betul. Jika kita lari, mereka akan tegur," katanya. - 25 September, 2013.


1 comment:

mohd shahran said...

Ulamak dalam PAS da gila kuasa hahaha..Ikhwan Muslimin tak ada masalahpun letakkan professional sbg pemimpin ...Morsi dr dalam pembuatan bukan fiqh atau sbgnya..Tunggulah kejatuhan PAS disebabkan ulamak2 bangang nie...Depa tak ambil langsung kata mursyidul mereka sendiri ..Profesional adalah ulamak dan ulamak adalah professional.. Bullshit segelintir ulamak PAS